ESPORTS RIGHTS & ADVICE INITIATIVE

Esports Rights & Advice Initiative ialah sebuah program sokongan selama tiga (3) bulan yang menawarkan khidmat nasihat undang-undang secara percuma kepada pemain esukan, penstrim kandungan (streamer), dan penganjur acara esukan Malaysia daripada isi rumah berpendapatan rendah (kumpulan B40). Matlamat utama program ini adalah untuk menyokong dan melindungi hak mereka dalam menangani cabaran berkaitan undang-undang, khususnya dalam aspek seperti pertikaian kontrak, perlindungan pemain, dan kelakuan beretika. Inisiatif ini selaras dengan hasrat Garis Panduan Pembangunan Esukan Kebangsaan (NESDEG), dengan tujuan merapatkan jurang akses terhadap perkhidmatan undang-undang dalam kalangan penggiat industri esukan di seluruh ekosistem.

Program ini diterajui oleh Esports Integrated dengan kerjasama Melanie Law Firm sebagai penyedia perkhidmatan perundingan undang-undang. Ia menyasarkan pemai, penstrim, dan penganjur esukan yang kurang berkemampuan dari segi kewangan untuk mempertahankan hak mereka apabila timbul keperluan mendapatkan keadilan. Esports Integrated bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pelaksanaan program ini dan memastikan skim bantuan guaman tersebut dibiayai dengan mencukupi.

Kelayakan Program

Anda layak menyertai program ini sekiranya anda memenuhi kriteria-kriteria berikut:

  1. Kewarganegaraan
    Penerima mestilah warganegara Malaysia dan menetap di dalam negara.
  2. Status Pekerjaan Semasa
    Penerima mestilah tergolong dalam mana-mana kategori berikut dalam ekosistem esukan:
    • Pemain esukan Malaysia, termasuk pemain yang sedang berusaha menjadi profesional.
    • Ahli pasukan esukan, termasuk pemilik, pengurus, dan jurulatih.
    • Penganjur kejohanan, perancang acara, dan pentadbir liga.
    • Penstrim kandungan langsung (streamer), pencipta kandungan digital, dan pempengaruh dalam bidang esukan.
  3. Pendapatan Isi Rumah
    Pendapatan isi rumah kasar bulanan TIDAK boleh melebihi had yang ditetapkan seperti berikut:
    • RM5,250 bagi individu yang sudah berkahwin*
    • RM3,000 bagi individu bujang*

    *Berdasarkan garis panduan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bandar semasa.

  4. Isu Undang-Undang yang Termasuk dalam Skop Program
    Program ini menawarkan nasihat undang-undang sahaja (bukan perwakilan di mahkamah) untuk isu-isu seperti berikut:

    (i) Jenis kes dalam skop bantuan guaman:
    • Undang-undang kontrak
    • Undang-undang pekerjaan
    • Perwakilan kecil (contoh: komunikasi dengan pihak ketiga bagi pihak peserta)
    • Undang-undang anti-persaingan (contoh: match-fixing, penggodaman)
    • Harta intelek (contoh: hak cipta, hak penyiaran)
    • Pengendorsan dan tajaan
    • Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA)
    (ii) Jenis kes yang kini di luar skop bantuan:
    • Perwakilan undang-undang di mahkamah
    • Penggubalan atau semakan kontrak
    • Isu antarabangsa dan imigresen
  1. Jenis Bantuan: Nasihat Undang-Undang
    Sesi nasihat secara lisan berkenaan undang-undang Malaysia, yang akan dikendalikan oleh pihak profesional dalam bidang undang-undang.
    Maksimum satu (1) sesi untuk setiap kes, dengan tempoh sehingga dua (2) jam.
  2. Jenis Bantuan: Pendapat Undang-Undang Bertulis
    Dokumen rasmi yang disediakan oleh peguam bertauliah, mengandungi:
    • Analisis undang-undang,
    • Tafsiran perundangan, dan
    • Nasihat berkaitan isu, kontrak atau situasi tertentu yang dihadapi oleh pemohon.
  3. Jenis Bantuan: Kit Sumber Maklumat
    Pakej bahan rujukan yang membantu pemohon memahami landskap perundangan esukan di Malaysia, termasuk:
    • Panduan umum mengenai hak dan perlindungan dalam industri,
    • Contoh dokumen undang-undang yang lazim digunakan, dan
    • Senarai semak bantuan kendiri (self-help checklist).

Dokumen Sokongan Diperlukan: Pemohon perlu mengemukakan salinan dokumen-dokumen berikut bagi tujuan pengesahan:

  • Salinan MyKad pemohon
  • Salinan kad pelajar
    Untuk pemohon berumur di bawah 18 tahun.
  • Slip gaji terkini ibu bapa (dua bulan terakhir)
    Untuk pemohon di bawah umur 18 tahun;
    ATAU
    Slip gaji pemohon sendiri (jika sudah bekerja).
  • Bukti penglibatan dalam bidang esukan profesional, seperti:
    • Salinan pendaftaran kejohanan terkini,
    • Tangkapan skrin penyertaan dalam acara esukan, atau
    • Surat pengesahan bertulis daripada pengurus pasukan / majikan, atau
    • Kontrak pekerjaan berkaitan esukan.
  • Bukti isu undang-undang yang ingin dimohon, seperti:
    • Tangkapan skrin komunikasi berkaitan,
    • Salinan kontrak, atau
    • Dokumen lain yang relevan.

Sila pastikan perkara-perkara berikut telah dipenuhi:

  • Semua dokumen sokongan yang diperlukan telah dilampirkan.
  • Tempoh tindak balas adalah dalam masa 14 hari bekerja selepas permohonan lengkap diterima.
  • Pemohon di bawah umur 18 tahun mestilah mendapatkan kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga sebelum permohonan boleh diproses.

Soalan Lazim (FAQ)

Adakah saya perlu membayar untuk mendapatkan bantuan nasihat guaman?

Tidak. Semua nasihat guaman yang diberikan di bawah program Esports Rights & Advice Initiative adalah percuma, tertakluk kepada kelayakan dan skop bantuan yang ditetapkan.

Anggaran tempoh saringan permohonan, termasuk sesi temu duga pendek melalui panggilan telefon untuk memahami kes anda dengan lebih terperinci, adalah antara satu (1) hingga dua (2) minggu dari tarikh penerimaan permohonan lengkap.

Apa yang perlu dilakukan jika permohonan anda tidak lulus tetapi anda benar-benar memerlukan bantuan?

Sekiranya pemohon tidak melepasi syarat kelayakan program ini namun mempunyai alasan atau keadaan tertentu yang luar biasa, contohnya:

  • Menghadapi situasi undang-undang yang sangat serius; dan
  • Tidak mampu untuk mendapatkan khidmat guaman persendirian,

Pemohon boleh menghubungi pihak kami untuk pertimbangan khas dan mendapatkan panduan lanjut mengenai pilihan bantuan yang mungkin tersedia.

Berapakah tempoh bagi satu sesi konsultasi guaman?

Setiap sesi konsultasi guaman diberikan secara percuma untuk tempoh maksimum dua (2) jam bagi setiap kes.

Sekiranya anda memerlukan masa tambahan, bayaran akan dikenakan berdasarkan kadar yang telah ditetapkan dan dipersetujui bersama.

Sila hubungi pihak kami sekiranya anda ingin memohon masa tambahan atau memerlukan perkhidmatan undang-undang lain.

Adakah kes saya masih layak jika ia melibatkan undang-undang luar negara (Bukan di bawah undang-undang Malaysia)?

Ya, kes anda masih boleh dipertimbangkan, walaupun ia melibatkan undang-undang luar negara.

Namun begitu, anda perlu menyatakan dengan jelas dalam permohonan sama ada kes anda tertakluk di bawah undang-undang Malaysia atau luar negara.

Maklumat ini penting bagi membolehkan pihak kami menilai kesesuaian dan skop bantuan yang boleh ditawarkan secara lebih tepat dan berkesan.

Bagaimana saya boleh mengenal pasti sama ada kes saya tertakluk di bawah undang-undang Malaysia?

Anda boleh mengenal pasti sama ada kes anda tertakluk di bawah undang-undang Malaysia berdasarkan perkara-perkara berikut:

  • Lokasi Kejadian atau Isu Berlaku:
    Jika kejadian, kontrak, atau pertikaian berlaku di Malaysia atau melibatkan pihak dari Malaysia, ia kebiasaannya tertakluk di bawah undang-undang Malaysia.
  • Lokasi Pihak yang Terlibat:
    Sekiranya anda (atau pihak lain) berpangkalan di Malaysia atau aktiviti yang berkaitan berlaku di Malaysia, besar kemungkinan kes tersebut berada di bawah bidang kuasa undang-undang Malaysia.
  • Klausa Undang-Undang dalam Kontrak:
    Periksa kontrak anda untuk mengenal pasti sama ada ia menyatakan undang-undang Malaysia sebagai undang-undang yang mentadbir.
    Jika undang-undang asing dinyatakan, mahkamah Malaysia masih boleh mempertimbangkannya sekiranya terdapat elemen yang berkait rapat dengan Malaysia.
  • Bidang Kuasa Mahkamah atau Pihak Berkuasa:
    Jika kes anda sedang dikendalikan oleh mahkamah, tribunal, atau pihak berkuasa Malaysia (contohnya: Suruhanjaya Syarikat Malaysia, KPDN, atau Jabatan Tenaga Kerja), maka ia tertakluk kepada undang-undang Malaysia.
  • Akta atau Peraturan yang Terpakai:
    Jika isu yang timbul berkaitan dengan mana-mana akta atau peraturan di Malaysia seperti Akta Pekerjaan 1955, Akta Kontrak 1950, atau Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, maka kes anda tertakluk di bawah undang-undang Malaysia.
CONTACT US